Sistem A-TBM ini boleh dinilai dari jauh, membolehkan pasukan pengorekan terowong dan projek mengurus serta mengawal operasi dengan selamat, sekali gus mengurangkan risiko operasi. – Foto NSTP

 

KUALA LUMPUR: Malaysia telah dikenali sebagai sebuah negara yang berjaya membina pelbagai projek infrastruktur bertaraf dunia, dan kini, ia melakar satu lagi pencapaian membanggakan apabila teknologi yang dibangunkan jurutera tempatan mula mendapat pengiktirafan pemain industri global.

Pencapaian berkenaan diterajui Gamuda Bhd menerusi pembangunan Autonomous Tunnel Boring Machine (A-TBM), teknologi pengorekan terowong autonomi yang dibangunkan di Malaysia dan kini digunakan dalam projek infrastruktur di beberapa negara lain.

Lebih membanggakan, teknologi berkenaan bakal dipasarkan ke peringkat antarabangsa menerusi kerjasama strategik dengan Robbins, pengeluar mesin pengorek terowong (TBM) dari Amerika Syarikat (AS) yang mempunyai lebih 70 tahun pengalaman dalam industri berkenaan.

Menurut Ketua Pegawai Digital Kumpulan Gamuda, John Lim Ji Xiong, kerjasama itu bukan sekadar peluang komersial, malah menjadi pengiktirafan terhadap keupayaan jurutera Malaysia menghasilkan teknologi bertaraf dunia.

 

Pasukan pakar pengorekan terowong Gamuda yang menjadi tulang belakang pelaksanaan A-TBM, bekerjasama rapat dengan pasukan projek di seluruh rantau. Dari kiri: Muhammad Haziq, Bhaldev Singh, Nur Safrina Hani Naina Mohamed, Liew Kit Shen, Farah Adibah Badardin dan David Tiw Minjie. – Foto NSTP

 

“Teknologi A-TBM ini dibangunkan di Malaysia ketika projek MRT Putrajaya. Hari ini ia bukan sahaja digunakan di Malaysia, malah telah digunakan dalam projek kami di Singapura dan Australia, manakala projek seterusnya ialah di Taiwan,” katanya ketika ditemui di Menara Gamuda baru-baru ini.

Menurut beliau lagi, sistem itu membolehkan mesin pengorek terowong dikendalikan secara autonomi menggunakan algoritma dan kecerdasan buatan (AI), manakala operator boleh memantau operasi dari jarak jauh bagi memastikan prestasi optimum.

Pembangunan teknologi itu bermula daripada keperluan sebenar ketika Gamuda melaksanakan projek-projek terowong dalam keadaan geologi Malaysia yang mencabar, termasuk formasi Kenny Hill, formasi batu kapur karst dan formasi tanah bercampur.

Daripada pengalaman berkenaan, Gamuda terlebih dahulu membangunkan Variable Density Tunnel Boring Machine (VD TBM) untuk projek MRT Kajang sebelum memperkenalkan A-TBM.

Ia adalah sistem autonomi pertama seumpamanya yang dibangunkan bagi meningkatkan ketepatan, keselamatan dan kecekapan operasi pengorekan semasa projek MRT Putrajaya pada tahun 2019.

Berbeza dengan kebanyakan inovasi yang diuji di makmal, teknologi itu dibangunkan dan diperkemas menerusi penggunaan sebenar di tapak projek.

Menurut John, penggunaan AI juga membantu mengatasi kekurangan operator TBM yang berpengalaman, selain memastikan prestasi mesin kekal konsisten sepanjang operasi.

“AI tidak letih, tidak tidur dan sentiasa mengendalikan mesin secara konsisten. Ia membantu mengurangkan variasi yang biasanya berlaku apabila dikendalikan oleh operator yang berbeza mengikut syif,” katanya.

Beliau berkata, teknologi itu turut membantu mengurangkan risiko operasi sebanyak 21 peratus kerana sistem memastikan mesin sentiasa beroperasi hampir kepada had optimum tanpa melebihinya.

Kejayaan teknologi itu menarik perhatian Robbins yang memilih untuk bekerjasama dengan Gamuda berbanding membangunkan sistem sendiri.

 

Bukti keupayaan Malaysia

Bagi John, keputusan syarikat itu membawa makna besar kerana ia membuktikan teknologi dibangunkan di Malaysia mampu bersaing di pentas antarabangsa.

“Bagi kami, ini adalah satu bentuk pengiktirafan terhadap kerja yang kami bangunkan selama bertahun-tahun. Sebuah syarikat dari AS sanggup menggunakan teknologi dibangunkan di sini dan memasangnya pada TBM mereka di seluruh dunia. Itu menunjukkan apa yang dibina di Malaysia benar-benar bertaraf dunia,” katanya.

Kerjasama itu juga membuka laluan kepada penggunaan A-TBM dalam projek Robbins di Amerika Utara dan India, sekali gus menandakan kali pertama teknologi itu digunakan di luar ekosistem projek Gamuda.

Sementara itu, Naib Presiden Operasi Robbins, Steve Chorley, berkata pihaknya memilih untuk bekerjasama dengan Gamuda selepas teknologi A-TBM syarikat itu membuktikan keupayaannya beroperasi secara berkesan dalam projek sebenar merentasi pelbagai keadaan geologi, bukan sekadar berdasarkan simulasi atau pemodelan teori.

 

A-TBM Gamuda semasa projek MRT Putrajaya, yang beroperasi dengan input manusia yang minimum. Dengan kawalan berasaskan AI, analisis data masa nyata dan pembuatan keputusan automatik, ia meningkatkan keselamatan serta kelajuan dan ketepatan pengorekan terowong. – Foto ihsan Gamuda

 

Jelasnya, syarikat itu menilai sesuatu teknologi berdasarkan keupayaannya menyelesaikan cabaran sebenar industri pada skala besar, sambil menyifatkan sistem autonomi Gamuda berjaya mengatasi kelemahan teknologi automasi terdahulu yang hanya berkesan dalam keadaan tanah stabil.

“Sistem ini turut diuji dalam beberapa projek sebenar di pelbagai negara dengan maklum balas operasi yang membuktikan prestasinya melebihi jangkaan, sekali gus memberikan keyakinan kepada kami untuk mengintegrasikan teknologi berkenaan ke dalam mesin keluaran kami.

“Industri pengorekan terowong kini berdepan kekurangan operator mahir, selain projek yang semakin kompleks dan keperluan keselamatan yang lebih ketat, justeru automasi mampu meningkatkan konsistensi operasi, mengurangkan tempoh henti mesin serta meminimumkan kesilapan yang boleh menjejaskan kos dan jadual projek,” katanya.

Mengulas kerjasama itu, beliau berkata, Robbins memilih rakan berdasarkan kepakaran, bukannya lokasi, namun pengalaman Gamuda yang lama di Asia Tenggara meyakinkannya bahawa Malaysia mempunyai keupayaan untuk menghasilkan inovasi bertaraf dunia, dengan keterbukaan serta kesediaan pasukan Gamuda menerima idea baharu menjadi antara faktor utama yang mengukuhkan kerjasama berkenaan.

Sempena Bulan Kebangsaan, kejayaan itu turut membawa makna lebih besar apabila Malaysia bukan lagi sekadar mengeksport kepakaran kejuruteraan dan perkhidmatan pembinaan, sebaliknya mula mengeksport teknologi serta harta intelek yang dibangunkan sendiri.

Daripada menyelesaikan cabaran di bawah tanah Malaysia kepada membantu membentuk masa depan industri terowong global, perjalanan Gamuda membuktikan inovasi tempatan mampu berdiri sebaris dengan pemain teknologi antarabangsa.

 

Source: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2026/08/1605297/dari-bawah-tanah-malaysia-ke-pentas-dunia